Jumaat, 11 Jun 2010

Kewajipan Menunaikan Solat Jumaat

Kehidupan kita di jepun sebagai seorang muslim terutama manusia lelaki, semestinya tidak terlepas dari persoalan solat jumaat. Dalam topic ini terdapat beberapa persoalan yang perlu dibicangkan terutama dalam aspek kepentingannya dan persoalan yang sering timbul tentang solat jumaat ini.

“Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum’at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”-surah al jumu’ah(62:9).

Dengan sepotong ayat dari Allah ini sudah jelas kepada kita menunaikan solat jumaat adalah wajib hukumnya ke atas manusia yang beriman. Bila mendengar azan waktu zohor di hari jumaat, Allah menyeru orang-orang beriman agar segera pergi ke masjid dan ditinggalkan segala urusan untuk sama-sama menunaikan solat jumaat(meningati Allah).
Rasulullah sallallahu-alaihi-wassalam sendiri telah bersabda berhubung kewajiban solat jumaat ini, sabda baginda:

“Solat jumaat adalah benar,wajib keatas semua orang islam dengan berjemaah, kecuali
Empat golongan, hamba sehaya, wanita, anak-anak, dan orang sakit.”

Oleh itu, jelas lagi terang kepada kita tentang hukum solat jumaat ini dan sumber perintah suruhan solat ini datang dari Allah jua. Bukan dari makhluk atau adat orang dahulu kala.

Tapi ada persoalan yang belum terungkai di benak fikiran manusia-manusia lelaki ini tentang apakah perlu solat jumaat ini dilakukan bila berada di Negara matahari terbit ini atau di mana-mana Negara yang jumlah penduduk islam nya sedikit (bukan seperti di Malaysia) , sedangkan telah diasuh dan ditanam fikiran ini dari kecil, syarat sah solat jumaat kena cukup 40org jemaah yang bermustautin di sesuatu tempat itu.
Dalam hal ini para ulama Islam berselisih pendapat mengenainya, namun di sini secara ringkasnya ingin di jelaskan pendapat imam Syafie dan juga mazhab syafie(digunakan seluruhnya di Malaysia):

Mereka mengatakan bilangan yang membolehkan umat islam menunaikan solat jumaat adalah 40org yang bermukim termasuk imam, dengan berteraskan dalil kata-kata Rasulullah dari hadis laporan Jabir bin Abdullah yang direkodkan oleh al-Baihaqi dan al-Daraqutni,

“Dan pada setiap 40org diharuskan solat jumaat.”

Hadis ini walaubagaimanapun dikategorikan sebagai dhaif kerana direkodkan melalui pelapor yang bernama Abdul Aziz bin Abdul Rahman. Pelapor ini disepakati kedhaifanya oleh para ulama hadis kerana dituduh sebagai penipu dan memalsukan hadis.

Apa yang benar dalam hal ini tidak ada jumlah minuman jemaah yang ditetapkan oleh syariat bagi menentukan sah atau tidak solat jumaat itu. Dalam beberapa riwayat yang lain dinyatakan bahawa pernah rasulullah sallallahu-alaihi-wassalam bersama para sahabat menunaikan solat jumaat kurang dari 40org.

Pernah sekali satu rombongan pedagang dari syam tiba di Madinah di kala Nabi sallallahu-alaihi-wassalam sedang memberikan khutbah Jumaat, lalu para jemaah terus keluar menuju kepada rombongan tersebut dan yang tinggal hanya 12 orang sahabat sahaja. Solat Jumaat diteruskan juga dengan 12orang jemaah pada waktu itu tanpa halangan, pembatalan dan di ulang semula oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wassalam.
Sebagai penyelesaiannya, kita kembali kepada dalil ayat al-Quran di awal-awal tadi surah Al Jumu’ah ayat 9 :

“Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Apa yang tersirat di sebalik ayat ini adalah apabila kamu mendengar azan memanggil solat Jumaat dan bilangan kamu cukup untuk berjemaah, tunaikanlah solat Jumaat. Bilangan bagi berjemaah adalah dua orang yang mukalaf, maknanya apabila cukup bilangan solat berjamaah iaitu dua org perlu menunaikan solat Jumaat.
Pendapat ini juga disokong oleh ulama hadis yang menegaskan tidak terdapat laporan yang sahih menentukan bilangan yang menetapkan bagi membolehkan solat Jumaat di tunaikan.

Perlu diingatkan bahawa solat jJumaat yang sah adalah didahului dengan dua khutbah. Maknanya apabila hanya ada dua orang sahaja yang menunaikan solat Jumaat, perlu ia menuruti tatacara solat Jumaat yang sah, ada khutbah dan ditunaikan sebanyak dua rakaat. Ini jawapan bagi kaum muslimin minority yang hanya ada bilangan yang kecil di kawasan mereka bagi menunaikan solat Jumaat.

Pendapat ini juga didokong oleh kebanyakan ulama pada zaman moden dalam menangani masalah umat Islam yang menetap di Negara bukan islam khususnya jepun, apabila mereka mahu menunaikan solat Jumaat. Antara alasan mereka adalah, solat Jumaat adalah syiar Islam. Di situlah juga tempat bagi umat islam berhimpun dan bertemu setiap minggu bagi mengeratkan ukhuwah. Selain daripada itu bagi mendengarkan khutbah, peringatan dan juga perkembangan terkini umat Islam.

Tidak logik sekiranya taksub dengan pendapat mazhab-mazhab sehingga terpaksa meninggalkan solat Jumaat yang menjadi syiar Islam. Lebih serius lagi, pendapat yang dipegang itu hanyalah pendapat yang bersandarkan hadis lemah dan tidak boleh dibawa berhujah.

Untuk lebih mendalami tentang permasalahan dan detail tentang solat jumaat ini. Rujuklah buku-buku fiqah perbandingan seperti buku fiqh luar Negara oleh Mazlee Malik, buku ensiklopedia fiqh perundangan islam oleh Dr. Wahbah Zuhayli, fiqh sunnah oleh Syed Sabiq dan juga buku-buku fiqh perbandingan yang lain.
waAllahua’lam.

sumber : http://www.amirnet.org/?page_id=14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...